PANDUAN MENANAM MANGGIS

PANDUAN MENANAM MANGGIS

Manggis (Garcinia mangostana L.) adalah sejenis buah-buah bermusim tergolong dalam keluarga Guttiferae. Sesuai di negara-negara beriklim tropika diantara 20oC dan 30oC Ia memerlukan keadaan lembab dengan jumlah taburan hujan sebanyak 2,500 mm. setahun dan sesuai dengan pelbagai jenis tanah yang bersaliran baik. Jenis tanah yang sesuai ialah tanah lanar laut seperti Siri Telok, tanah lanar sungai dan kawasan dataran banjir.>

Kultivatar Yang Disyorkan

Tiada klon yang dikenalpasti untuk disyorkan kerana biji manggis adalah jenis apomiksis, iaitu pokok yang dibiak daripada biji tetap tidak berubah dari bakanya. Sila klik pada tajuk-tajuk di bawah:-


Istilah Manggis dari Wikipedia - klik
Panduan Menanam Manggis (pdf) - klik
Suntingan berita: Khasiat Kulit Manggis (doc) - klik
Herba Manggis: Khasiat kulit manggis


Pengurusan Air:

Pengurusan air sangat perlu bagi tanaman manggis pada peringkat awal di ladang. Kekurangan air pada peringkat ini akan menyebabkan pokok yang bru diubah, lambat pulih daripada kejutan pemindahan dan seterusnya lambat membesar. Bagi mengatasi masalah ini, seelok-eloknya pokok diubah ke ladang pad awal musim hujan. Sungkupan di keliling pokok digalakkan terutamanya sepanjang musim kemarau.

Air yang mencukupi perlu pada peringkat pembuangan dan pembesaran buah. Kekurangan air akan menyebabkan pembesaran buah terbantut. Air yang berlebihan juga tidak baik kerana pokok akan lebih cenderung untuk berpucuk. Pokok yang berpucuk pada masa pengeluaran buah akan mewujudkan saingan dalam mendapatkan bahan makanan. Akibatnya keguguran buah boleh berlaku atau buah lambat membesar.

>Bagi ladang komersil, pengairan mikro boleh digunakan. Sistem pengairan mikro mempunyai kecekapan yang tinggi melebihi 90% pemberian air. Pengendaliannya tidak memerlukan tenaga kerja yang banyak Kadar alir air bagi kepala penyebar mikro adalah diantara 2-60 liter sejam pada tekanan 2-60 psi.

Kawalan Serangga Bagi Tanaman Manggis

Jenis Serangga Bahagian diserang/simptom Syor Kawalan
1. Pelombong Daun
(Phyllocnictis citrella)



Larva memakan inti daun melalui saluran atau liang-liang yang dibuat. Daun yang diserang menjadi berkilat seolah-olah melecur dan bahagian tepi daun kelihatan pudar dan bergulung. Larva membesar di dalam daun dan menjadi kepompong dalam lipatan daun.
Jika tahap kerosakan tinggi, kawalan boleh dibuat dengan menyembur daun-daun yang terlibat dengan racun jenis serap seperti dimethoate dengan kadar 0.1% bahan aktif.

2. Pengorek Buah
(Curculio sp.)






Kumbang dewasa bertelur di kulit buah pada peringkat pembesaran buah dan larva membesar di dalam buah. Larva yang hampir jadi kepompong memakan isi buah hingga ke biji dengan membuat lubang hampir dengan tangkal buah. Apabila buah jatuh, larva akan masuk ke dalam dan menjadi kepompong di dalam tanah. (boleh hidup 2-6 minggu sebelum muncul sebagai kumbang dewasa).
Belum ada syor kawalan tertentu kecuali dengan membuang buah yang jatuh ke tanah dengan segera.


Kawalan Penyakit Bagi Tanaman Manggis

Jenis Penyakit Bahagian diserang/simptom Syor Kawalan
1. Cerana Zignoela
(Zignoela garcianneae)

Menyerang dahan dan batang. Tempat diserang akan bengkak dan bercerana. Daun akan layu dan luruh. Pokok akan mati.
Musnah pokok yang diserang dengan menebang dan membakar kesemua bahagian pokok untuk mengawal penyakit dari merebak.

2. Cendawan Angin
(Corticum salmonicolor)



Menyerang batang dan dahan pokok. Bahagian yang diserang akan menjadi merah samar dan diselaputi oleh bebenang. Daun-daun dan pucuk di dahan yang diserang akan kecut dan layu dan terus mati.
Dikawal dengan memperbaiki sistem pengudaraan di keliling pokok. Cantas dahan yang terlalu rapat. Jika perlu sembur bahagian pokok yang diserang dengan racun kulat berasaskan kuprum.



Kerosakan Lain:

Gamosis
Selain penyakit, pokok manggis mengeluarkan sejenis gam berwarna kuning yang boleh merosakkan dahan dan buah. Buah yang rosak akan mengeluarkan gam dan ini akan menyebabkan buah menjadi keras dan berasa pahit. Kerosakan ini berlaku apabila dahan atau buah tercedera akibat tersentuh secara mekanikal. Masalah ini lebih ketara apabila getah kuning terdapat di dalam buah yang telah matang. Gam ini kadang-kadang tidak kelihatan pada kulit buah. Kawalan atau cara mengatasinya adalah dengan menjaga buah atau dahan supaya tidak rosak. Buah yang telah matang perlu dipetik secara manual dan tidak dibiarkan jatuh ke tanah. Kawalan gamosis secara terperinci masih belum diperolehi.


Kawalan Rumpai
Kawalan rumpai perlu dijalankan sejak awal pertumbuhan lagi terutama di pangkal pokok bagi mengelakkan persaingan untuk mendapatkan nutrien dan air. Kawalan dilakukan dengan menggunakan sungkupan di pangkal pokok yang terdiri daripada lalang atau rumput kering. Sekiranya perlu, rumpai di keliling pokok manggis boleh dikawal secara manual dengan menggunakan cangkul sementara rumpai yang terdapat di antara barisan boleh dikawal dengan menggunakan mesin pemotong rumput. Tanaman penutup bumi seperti jenis kekacang juga boleh digunakan untuk mengawal rumpai yang dengan sendiri boleh mengawal hakisan tanah serta meningkatkan kesuburan tanah. Bagi pokok manggis yang matang rumpai dikawal dengan menyembur racun rumpai seperti paraquat (1.0 kg/ha) atau glufosinate-ammonium (0.5 kg/ha).


Tempoh Dilarang Mengutip Hasil (TDMH):

Penyemburan racun perosak hendaklah diberhentikan beberapa hari sebelum mengutip hasil. Ini berpandukan kepada TDMH yang telah ditetapkan bagi racun-racun perosak. Sebagai panduan TDMH bagi racun perosak yang digunakan pada tanaman manggis adalah seperti berikut:-


Racun Perosak TDMH (bilangan hari)

1. Racun berasaskan kuprum
2. Dimethoate

tiada
23




Indeks kematangan dan penuaian Buah Manggis

Tanaman ini dapat mengeluarkan hasil yang memuaskan apabila pokok lebih daripada lapan tahun. Pada permulaan hasil adalah rendah tetapi hasil seterusnya meningkat mengikut umur pokok. Manggis biasanya berbuah setahun sekali.

Buah manggis mengambil lebih kurang 13-14 minggu untuk matang. Tanda kematangan ialah apabila ada perubahan pada warna kulit buah. Buah yang belum matang berwarna hijau kekuningan dan akan bertukar menjadi hijau dengan tompok-tompok ungu atau kemerahan pada peringkat matang. Keseluruhan buah akan bertukar kepada warna coklat kemerahan dan seterusnya kehitaman apabila buah cukup masak. Terdapat berbagai-bagai peringkat kematangan dalam satu pokok pada masa yang sama dan untuk memudahkan pengutipan hasil indeks warna yang berikut digunakan sebagai indeks kematangan. Perubahan warna daripada satu indeks warna ke satu indeks warna seterusnya mengambil masa satu hari pada suhu 25oC - 30oC.



Indeks 1 :
Hijau kekuningan dengan sedikit kesan merah.

Indeks 2
Hijau kekuningan dengan sedikit kesan kemerahan. Kulit buah apabila dipotong masih lagi mengandungi lateks kuning dan isinya masih melekat kuat pada kulit. Mutu buah yang dipetik pada peringkat ini tidak dapat diterima.

Indeks 3
Merah kekuningan dengan tompok-tompok kemerahan sekeliling buah. Kandungan lateks dalam kulit berkurangan sedikit dan bahagian ini masih tidak mudah dipisahkan daripada kulit. Buah yang dipetik pada peringkat ini sedia untuk dihidangkan selepas 3-4 hari diperam pada keadaan ambien. Indeks warna ini adalah peringkat yang paling awal sesuai bagi memetik buah.

Indeks 4
Keseluruhan kulit buah berwarna kemerahan dengan tompok-tompok merah yang jelas. Lateks masih terdapat dalam kulit manakala isi boleh diasingkan daripada kulit. Buah yang dipetik pada peringkat ini sesuai untuk pasaran eksport.

Indeks 5
Coklat kemerahan pada seluruh permukaan kulit. Buah yang dipetik pada peringkat ini sudah boleh dihidangkan tetapi kulitnya yang tebal masih mengandungi lateks. Untuk eksport, buah mestilah dipetik tidak melampaui peringkat ini.

Indeks 6
kemerahan pada seluruh permukaan buah. Buah yang dipetik pada peringkat ini sudah sedia untuk hidangan kerana mutu dan citarasanya adalah memuaskan. Isi dan kulit mudah diasingkan manakala kulit sudah tidak mengandungi lateks lagi.

Indeks 7
Ungu Gelap atau kehitaman pada seluruhpermukaan kulit. Buah pada peringkat ini adalah terlalu masak.


Pengutipan buah manggis lazimnya tidak dapat dibuat serentak kerana pembungaan berlaku berperingkat-peringkat. Kebiasannya buah dipetik setiap dua atau tiga hari dengan memilih buah yang sudah sedia dipetik sahaja. Buah perlu dipetik dengan cermat dan elakkan dari jatuh terhempas ke tanah bagi mengatasi gamosis. Buah boleh dipetik dengan tangan, penggunaan tangga digalakkan bagi pokok yang tinggi. Galah yang mempunyai cangkuk dan perangkap jaring dihujung juga sesuai untuk digunakan.

PENGENDALIAN LEPAS TUAI

Pengendalian di ladang
Buah-buah yang dipetik, dikumpul di dalam bakul atau bekas yang sesuai serta dialas dengan span atau kain bagi mengelak dari kecederaan secara mekanikal seperti hentakan, himpitan dan gegaran. Bakul-bakul yang berisi buah perlu dihantar dengan cepat ke rumah pembungkusan untuk mengelakkan kerosakan dan penurunan mutu.


Pengendalian di Pusat Pembungkusan
Di rumah pembungkusan, buah dipilih. Buah yang buruk, terlalu muda, terlalu kecil dan sampah sarap dibuang sebelum proses seterusnya. Bagi penyediaan buah untuk tujuan eksport ke negara tertentu, pengasingan mengikut indeks warna yang dikehendaki boleh dilakukan di peringkat ini. Buah dimasukkan ke dalam tangki air bersih bagi membuangkan sampah sarap dan kotoran yang terlekat pada buah tanpa mencederakannya. Span atau kain boleh digunakan semasa membasuh. Air perlu diganti dengan yang bersih dari semasa ke semasa. Buah kemudiannya di susun di atas rak-rak atau meja bertingkat bagi mengeringkan air pada permukaan kulit. Kipas boleh juga digunakan bagi mempercepatkan proses pengeringan.


Penggredan
Buah digred mengikut saiz. Penggredan dengan tangan boleh dilakukan dengan berasaskan penentuan gred.

- berat sebiji buah 100 gm atau lebih, iaitu lebih kurang 8.10 biji/kg.
- kulit buah bersih, tidak cedera, bebas dari kesan penyakit atau kerosakan oleh serangga.
- kulit sederhana tebal, pejal tetapi tidak keras.
- tiada kesan getah kuning (resin) pada kulit dan tangkai.
- ulas isi putih bersih dana tidak jernih disebabkan oleh kecederaan.


Pembungkusan
Buah disusun dengan teratur dan padat di dalam kotak. Lapisan pengalas digunakan bagi mengurangkan geseran, himpitan diantara buah dengan permukaan kotak. Reka bentuk kotak berbeza mengikut jenis pasaran, sistem pengendalian, kehendak pengguna dan muatannya selain mengambil kira kekuatan mekanikal, kemudahan untuk dikendalikan, lubang perudaraan yang mencukupi dan kemudian mengaturnya di atas kenderaan dan di bilik penyimpanan.


Penyimpanan
Bagi pasaran segar, penggunaan bilik sejuk pada suhu 5oC dan kelembapan relatif 85% adalah kaedah yang sesuai untuk penyimpanan manggis. Dalam keadaan ini, buah manggis boleh disimpan sehingga 4 minggu.


Pengangkutan
Jenis pengangkutan yang boleh digunakan untuk mengangkut buah manggis ke destinasi pasaran adalah tertakluk kepada jarak perjalanan, jangka masa penyimpanan buah dan kos yang terlibat.



Maklumat Pertanian - Ternakan, Tanaman, Perikanan & Agrotourism
Sekadar Info,Rujukan dan Ilmu.
Sumber/Dipetik:PEJABAT PERTANIAN DAERAH MANJUNG
KOMPLEKS PENTADBIRAN DAERAH MANJUNG, 32040 SERI MANJUNG
PERAK DARUL RIDZUAN, MALAYSIA